Friday 10 June 2011

20 roda besi meriam lama dicuri

MELAKA 8 Jun - Sebanyak 20 roda besi pada lima meriam lama di zaman Portugis yang ditempatkan di Bukit Senjuang (Bukit St. John), Banda Hilir dekat sini dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab awal pagi semalam.
Kehilangan tinggalan sejarah itu disedari oleh kontraktor yang hendak memulakan kerja pembersihan di kawasan tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, pekerja itu terkejut apabila mendapati kesemua roda besi pada lima meriam lama itu telah hilang.
Meriam lama tersebut ditempatkan di kawasan tumpuan pelancong di bukit berkenaan sejak tahun 1983 oleh Jabatan Muzium dan Integriti.
"Saya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab individu terbabit yang sanggup mencuri khazanah lama yang menjadi mercu tanda Bukit Senjuang dan menjadi tumpuan dan tarikan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan itu hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas dan Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd. Derus Tompang.
Md. Yunos berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada Jabatan Warisan Negara supaya satu laporan polis dibuat berhubung kecurian tersebut.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Warisan Negara menempatkan sekurang-kurangnya seorang pengawal keselamatan untuk membuat rondaan pada sebelah malam.
"Kawasan Bukit Senjuang ini tidak ada pengawal keselamatan malah lampu juga tidak terdapat di menara yang menempatkan lima meriam di zaman Portugis," ujarnya.

No comments:

Post a Comment