Friday 10 June 2011

Bekas pengawal keselamatan ingin penjelasan Kris Forst

  • SEORANG bekas pekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan yang juga dikenali sebagai Syarikat Kris Forst mahukan penjelasan yang munasabah mengenai bayaran gaji tertunggak selama empat bulan yang masih belum diterimanya sehingga ke hari ini.
“Saya mula bekerja dengan syarikat berkenaan sebagai pengawal keselamatan bersama dua lagi rakan sekerja pada bulan Januari tahun lepas dan telah dihantar bertugas di SK Bonor, Sook Keningau. Selepas bekerja sehingga bulan Oktober pada tahun yang sama, kami dimaklumkan bahawa kontrak antara bekas majikan dan Kementerian Pendidikan telah dimansuhkan,” ujar pengadu.
“Oleh sebab itu, tanpa sebarang pilihan lain, kami terpaksa berhenti dan mencari kerja lain. Tetapi apa yang membuatkan kami berasa sedih ialah pengerusi syarikat berkenaan memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat melunaskan baki wang gaji kami. Dia turut mendakwa yang pihak kementerian enggan mengeluarkan sebarang bayaran yang membuatkan mereka tidak mempunyai wang untuk membayar gaji kami,” tambahnya.
“Bagi saya, biarpun pihak kementerian tidak mahu membuat sebarang bayaran kepada bekas majikan saya itu, masih menjadi tanggungjawab mereka untuk membayar gaji kami. Tetapi dalam situasi ini, kami telah dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa ganti rugi atau yang sewajarnya.”
Pengadu turut memaklumkan kepada ActionLine yang dia telah membawa masalah tersebut kepada Jabatan Buruh yang terletak di Keningau namun jawapan yang diterimanya lebih mengecewakan.
“Saya benar-benar tidak percaya yang mereka memberitahu saya untuk membiarkan sahaja perkara itu kerana saya bukan satu-satunya mangsa kejadian seperti ini. Pegawai berkenaan juga memberitahu yang banyak lagi pengawal keselamatan di daerah ini yang mengalami nasib yang sama.”
“Kenyataan itu langsung tidak membantu. Bagaimana mereka boleh berkata sedemikian? Apa yang pasti kami bukan bekerja secara sukarela tetapi bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan,” jelasya lagi.
Justeru, Jabatan tersebut sepatutnya membantu saya untuk mempertahankan hak saya yang telah dicabul oleh syarikat itu tetapi nampaknya mereka tidak kisah dengan masalah saya dan ia turut menandakan yang mereka seolah-olah bersetuju dengan tindakan bekas majikan saya tidak mahu membayar walau sesen pun wang gaji kami selepas tuntutan mereka tidak diluluskan oleh pihak kementerian.”
Syarikat Kris Forst berpusat di Kota Kinabalu, menurut pengadu terdapat lebih dari 10 buah sekolah di sekitar daerah Keningau yang terletak di bawah jagaan mereka.
“Saya terasa seperti berada di jalan mati kerana saya sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Jabatan Buruh secara terang-terangan menolak aduan saya dan syarikat itu juga langsung tidak sudi untuk memberi kerjasama.”

Rujukan : http://ns1.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/49454

No comments:

Post a Comment