Friday 10 June 2011

Gaji pengawal: Harga tawaran kontrak perlu dinaikkan

KUALA LUMPUR 3 Mei - Harga tawaran kontrak kepada syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan perlu dinaikkan antara 67 hingga 75 peratus jika kerajaan tetap menguatkuasakan kenaikan gaji minimum pengawal keselamatan Julai ini.
Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, langkah itu perlu bagi menampung bayaran gaji yang tinggi terhadap lebih 150,000 pengawal keselamatan yang berdaftar di bawah 500 syarikat keselamatan.
"Jika tidak, saya khuatir 50 peratus daripada 500 syarikat kawalan keselamatan akan gulung tikar sekiranya harga kontrak masih di tahap yang sama.
"Pihak kami adalah syarikat swasta dan pendapatan serta keuntungan hanya bergantung kepada kontrak yang ditawarkan oleh mana-mana agensi yang memerlukan perkhidmatan kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan sama ada mengekal atau menangguhkan kadar kenaikan gaji baru pengawal keselamatan yang dijadualkan berkuatkuasa 1 Julai ini akan diputuskan minggu depan.
Beliau berkata, keputusan itu akan diambil selepas kementerian menimbangkan permintaan PPKKM yang mahu berunding terlebih dahulu dengan pelanggan mereka.
Sementara itu Shaheen berkata, kemungkinan 50,000 hingga 60,000 pengawal keselamatan yang rata-ratanya penduduk tempatan akan kehilangan pekerjaan sekiranya permintaan pihaknya tidak diluluskan kementerian.
Beliau berkata, dalam hal ini pihak persatuan memang menyambut baik cadangan kerajaan menaikkan gaji pengawal keselamatan dalam usaha mewujudkan rakyat yang berpendapatan tinggi.
"Kira-kira 50 peratus pelanggan kami adalah sektor awam dan sehingga hari ini kerajaan masih tidak mengumumkan penambahan bajet bagi menampung kos operasi kawalan keselamatan.
"Jika kerajaan tidak berbuat demikian, sektor swasta juga tidak akan melakukannya. Jadi mustahil bagi syarikat kawalan keselamatan untuk bertahan sementara menunggu pelanggan mereka bersedia menaikkan bajet masing-masing," jelasnya.
Beliau berkata, PPKKM menjangkakan situasi semakin buruk jika sektor swasta beralih semula kepada sistem 'jaga' yang kos gajinya jauh lebih murah kerana melibatkan pekerja asing.
"Sistem jaga tidak terlibat dalam proses kenaikan gaji ini dan tiada akta yang melarang sektor swasta untuk menggunakan sistem ini untuk menggantikan perkhidmatan kawalan keselamatan.
"Jika perkara ini tidak dikaji semula, tidak mustahil selepas ini pekerja asing akan mengambil alih kawalan keselamatan dan masalah lambakan pekerja asing menjadi semakin parah," tegasnya.
Menurutnya, tarikh 1 Januari 2011 yang dipilih persatuan untuk memulakan proses kenaikan gaji pengawal keselamatan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
"Proses rundingan semula dengan pelanggan terutamanya sektor swasta bagi menentukan kadar baru memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk diselesaikan," katanya.

No comments:

Post a Comment