Friday 10 June 2011

Hospital kelam-kabut

KOTA BHARU 17 Mac - Pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kelam-kabut sejak dua hari lalu apabila 105 orang pengawal keselamatan yang bertugas di hospital itu melancarkan mogok.
Mogok itu dipercayai dilancarkan sebagai tanda meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pengurusan syarikat sekuriti yang didakwa lambat membayar gaji pengawal keselamatan terbabit.
Salah seorang pengawal keselamatan syarikat berkenaan yang enggan mendedahkan identitinya berkata, ini merupakan kali kedua pihak syarikat berbuat demikian.
"Sebelum ini syarikat berjanji untuk membayar gaji pada setiap 7 hari bulan tetapi sampai sekarang gaji tidak ada.
"Saya dan rakan-rakan telah membuat aduan di pejabat syarikat negeri dan pengurusan jawab, gaji akan masuk, tapi tak tahu bila, semua bergantung kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di hospital terbabit mendapati keadaan lalu lintas dikawal sepenuhnya oleh anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Beberapa pengawal keselamatan di hospital terbabit hanya 'memeluk tubuh' memerhatikan keadaan sekeliling tanpa berbuat apa-apa.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Dr. Ghazali Md. Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berkenaan perkara berkenaan.
Katanya, pihak hospital telah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan dengan menamatkan kontrak serta-merta.
Tambahnya, dalam masa seminggu ini pihaknya akan mencari syarikat baru yang berwibawa untuk mengambil tugas tersebut.
"Alhamdulillah, masalah ini dapat diatasi apabila kita mendapat kerjasama daripada pasukan Rela dan polis membantu masalah ini.
"Orang ramai diminta tidak panik dengan keadaan semasa. Setakat ini keadaan masih terkawal dan tidak berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

No comments:

Post a Comment