Friday 10 June 2011

Mana tunggakan gaji kami?

JOHOR BAHRU 3 Mei – Beberapa bekas pekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan di Menara Iskandar Investment di Pusat Beli Belah Kotaraya, di sini merayu supaya gaji mereka yang sudah tertunggak sejak lebih sebulan lalu segera dibayar.
Menurut mereka, ramai pekerja dan bekas pekerja mencuba pelbagai cara untuk menuntut bayaran masing-masing sama ada gaji penuh atau separuh tetapi tidak dilayan.
Seorang bekas pekerjanya, Elias Abdullah, 60, berkata, syarikat itu masih belum membayar RM1,050 iaitu gajinya untuk Mac lalu selepas menamatkan perkhidmatan dengan syarikat itu.
Katanya, sehingga kini, pengurus syarikat masih berdolak dalih dan tidak memberikan jawapan meyakinkan untuk menjelaskan tunggakan tersebut.
“Apabila ditanya pengurus itu akan kata esok, esok dan esok. Jawapan itu diberi sejak berhenti 31 Mac lalu walaupun notis berhenti kerja dihantar Februari lalu.
“Masalah ini telah lama berlarutan tetapi tidak ada tindakan dikenakan dan nasib pekerja serta bekas pekerja tidak pernah terbela kerana tiada bekas pekerja yang pernah bersuara.
“Setelah melihat sikap pihak syarikat itu yang liat membayar gaji, saya ambil keputusan buat laporan di Balai Polis Johor Bahru Selatan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia Johor, di sini semalam.
Elias yang merupakan pesara tentera berkata, masalah itu pernah diajukan kepada pihak pengurusan menara tersebut tetapi tiada tindakan malah didiamkan begitu sahaja.
Bagi Jamil Mat Nasir, 49, yang baru sebulan berhenti kerja mendakwa, syarikat tersebut tidak mengikut perjanjian seperti yang ditawarkan sebelum berkhidmat di situ.
Dia yang berhenti kerja 7 April lalu dan masih tidak mendapat gaji menambah, syarikat itu langsung tidak memikirkan keadaan pekerjanya yang rata-rata bukan orang senang.
S.Chandran, 48, pula yang baru berhenti kerja bulan lalu berkata, bekas pekerja bukan mahu menimbulkan masalah tetapi hanya menuntut hak mereka.
“Kami semua ada anak isteri dan inilah sumber pendapatan kami. Tindakan syarikat itu benar-benar menyusahkan kami,” katanya yang berkhidmat selama enam bulan dengan syarikat itu.
Sepanjang berkhidmat dengan syarikat tersebut dakwanya, pihak pengurusannya kerap mencari peluang untuk melakukan pemotongan tidak munasabah terhadap gaji bulanan.

No comments:

Post a Comment