Friday 10 June 2011

Pengawal keselamatan, jurujual dipenjara kerana curi motosikal

MIRI: ‘Harapkan pagar, pa­gar makan padi’ merupakan perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan se­orang pengawal keselamatan dan seorang jurujual yang dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Ma­jistret pagi semalam kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal.
Ketika membacakan kepu­tusannya, Majistret Mohd Safuan Azhar berkata sebagai pengawal keselamatan, ter­tuduh pertama diamanahkan untuk menjaga keselamatan di tempatnya bekerja tetapi sebaliknya tertuduh sendiri yang melakukan kecurian.
Justeru, beliau berharap hukuman penjara 16 bulan yang dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh dapat dijadikan pengajaran kepada mereka serta orang awam agar tidak mengulangi atau melakukan kesalahan se­rupa.
Farid Muskillah Abdullah @ Randy Roland, 21, dari Pujut Corner dan Mohd Shahrilnizam Abdul Latib, 21, dari Taman Ceria di sini didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pen­jara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda.
Menurut keterangan kes, pada jam 8.12 petang, 24 Mac lalu, seorang Pembantu Pe­nilaian di Jabatan Penilaian Persekutuan, Husnul Hadi Mohamad membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kehilangan motosikalnya.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 2.54 petang hari sama, beliau mendapati motosikalnya yang diletakkan di tempat letak motosikal di tingkat bawah bangunan pejabatnya di Yu Lan Plaza di sini, hilang dipercayai dicuri.
Berikutan itu, beliau telah meminta bantuan rakannya untuk mengesan pencuri terbabit dan mengesyaki se­orang pengawal keselama­tan di bangunan tersebut terlibat dengan kehilangan motosikalnya itu.
Menurut pengadu, pen­gawal keselamatan terbabit sering dilihat berjalan-jalan di kawasan tempat letak motosikal di tingkat bawah bangunan pejabatnya itu. Tambahan, sebelum ini dia juga pernah kehilangan kunci motosikalnya.
Pada kira-kira jam 8 malam hari sama, pengadu dengan dibantu pegawai dari sya­rikat kawalan keselamatan tempat tertuduh bekerja telah berjaya menangkap tertuduh di stesen minyak Petronas Permyjaya kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan.
Hasil siasatan lanjut po­lis mendapati Farid telah meminta Shahrilnizam da­tang ke tempatnya bekerja dan menyerahkan anak kunci motosikal pengadu yang dijumpainya di atas tempat duduk motosikal tersebut kepada rakannya itu agar melarikan motosikal tersebut dan menyembunyikan di ru­mahnya (Shahrilnizam).
Pada jam 10.45 malam hari sama, polis telah menangkap Shahrilnizam ketika datang ke Balai Polis Pusat Miri un­tuk menyerahkan motosikal yang dicuri mereka itu.
Ketika rayuan, kedua-dua tertuduh memohon huku­man ringan memandangkan ini adalah kesalahan pertama. Tambahan mereka men­curi kerana terdesak men­cari wang untuk menyara kehidupan keluarga.
Pendakwaan dilakukan In­spektor Mohd Khairi Mohd Noor.

No comments:

Post a Comment