Showing posts with label Masalah Pengawal. Show all posts
Showing posts with label Masalah Pengawal. Show all posts

Friday, 10 June 2011

Majikan di Sabah diingatkan hari ini cuti bergaji

KOTA KINABALU: Para majikan di Sabah diingatkan bahawa hari ini (Jumaat) adalah juga merupakan hari cuti bergaji bagi para pekerja di negeri ini di bawah peruntukan Ordinan Buruh (Sabah Bab 67).
Satu kenyataan dari Jabatan Tenaga Kerja Sabah berkata majikan yang menghendaki pekerja mereka berkerja hari ini perlu dibayar di bawah peruntukan Ordinan buruh itu.
Pekerja mereka berhak mendapat bayaran gaji atas kadar tidak kurang daripada tiga kali ganda kadar gaji biasa mereka.
“Jika mereka bekerja lebih masa, mereka berhak dibayar tidak kurang daripada tiga (3) kali ganda kadar biasa mereka,” katanya.
Kenyataan itu berkata jika mereka tidak dikehendaki bekerja pada hari tersebut, mereka adalah berhak mendapat bayaran gaji atas kadar biasa.
Katanya, kegagalan membayar gaji mengikut peruntukan undang-undang seperti yang ditetapkan adalah satu kesalahan di bawah peruntukan Ordinan Buruh itu dan majikan bolah didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.
Pada Malam Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 31 Dis (hari ini) sebagai cuti umum sempena kejayaan skuad bola sepak negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2, menamatkan penantian selama 14 tahun.

Majikan segera lunas gaji tertunggak, kata pengawal keselamatan

  • SEORANG pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah sekolah menengah di daerah Kota Marudu menggesa agar majikannya segera melunaskan wang gaji yang tertunggak sejak bulan Januari lagi.
Pengadu berkenaan mendakwa, dia dan tujuh lagi rakan sekerjanya membuat keputusan untuk mendedahkan masalah ini kepada ActionLine kerana majikan mereka Perisai Bernas Sdn. Bhd. enggan bekerjasama dalam soal pembayaran gaji yang menjadi hak utama setiap pekerja di mana agensi sekalipun.
“Apabila saya bertanyakan soal gaji kepada majikan saya, dia dengan kasar menjawab ‘kalau tidak mahu kerja boleh berhenti bila-bila masa’. Majikan seperti ini adalah majikan yang tidak berhati perut kerana kami bekerja untuk menyara kehidupan sendiri serta keluarga.”
“Saya bekerja selama 12 jam sehari dan perlu pula menyediakan wang tambang untuk ke tempat kerja. Jika kerja tidak bergaji, penat lelah saya sia-sia sahaja dan di mana pula saya boleh mendapatkan wang perbelanjaan? Majikan ada menyediakan wang pinjaman untuk pekerja tetapi bukan itu yang kami mahu,” tambahnya.
Oleh itu, pengadu memohon agar jabatan yang berkenaan dapat membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut. “Majikan saya bukan sahaja gagal membayar gaji pekerja tetapi juga enggan mengeluarkan surat pelantikan kepada tujuh lagi pekerjanya yang lain,” ujar pengadu sambil menambah yang dia juga mempunyai bukti mengenai aduan tersebut.

Hospital kelam-kabut

KOTA BHARU 17 Mac - Pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kelam-kabut sejak dua hari lalu apabila 105 orang pengawal keselamatan yang bertugas di hospital itu melancarkan mogok.
Mogok itu dipercayai dilancarkan sebagai tanda meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pengurusan syarikat sekuriti yang didakwa lambat membayar gaji pengawal keselamatan terbabit.
Salah seorang pengawal keselamatan syarikat berkenaan yang enggan mendedahkan identitinya berkata, ini merupakan kali kedua pihak syarikat berbuat demikian.
"Sebelum ini syarikat berjanji untuk membayar gaji pada setiap 7 hari bulan tetapi sampai sekarang gaji tidak ada.
"Saya dan rakan-rakan telah membuat aduan di pejabat syarikat negeri dan pengurusan jawab, gaji akan masuk, tapi tak tahu bila, semua bergantung kepada ibu pejabat di Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di hospital terbabit mendapati keadaan lalu lintas dikawal sepenuhnya oleh anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Beberapa pengawal keselamatan di hospital terbabit hanya 'memeluk tubuh' memerhatikan keadaan sekeliling tanpa berbuat apa-apa.
Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Dr. Ghazali Md. Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berkenaan perkara berkenaan.
Katanya, pihak hospital telah mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan dengan menamatkan kontrak serta-merta.
Tambahnya, dalam masa seminggu ini pihaknya akan mencari syarikat baru yang berwibawa untuk mengambil tugas tersebut.
"Alhamdulillah, masalah ini dapat diatasi apabila kita mendapat kerjasama daripada pasukan Rela dan polis membantu masalah ini.
"Orang ramai diminta tidak panik dengan keadaan semasa. Setakat ini keadaan masih terkawal dan tidak berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Gaji pengawal: Harga tawaran kontrak perlu dinaikkan

KUALA LUMPUR 3 Mei - Harga tawaran kontrak kepada syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan perlu dinaikkan antara 67 hingga 75 peratus jika kerajaan tetap menguatkuasakan kenaikan gaji minimum pengawal keselamatan Julai ini.
Pengerusi Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Shaheen Mirza Habib berkata, langkah itu perlu bagi menampung bayaran gaji yang tinggi terhadap lebih 150,000 pengawal keselamatan yang berdaftar di bawah 500 syarikat keselamatan.
"Jika tidak, saya khuatir 50 peratus daripada 500 syarikat kawalan keselamatan akan gulung tikar sekiranya harga kontrak masih di tahap yang sama.
"Pihak kami adalah syarikat swasta dan pendapatan serta keuntungan hanya bergantung kepada kontrak yang ditawarkan oleh mana-mana agensi yang memerlukan perkhidmatan kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan sama ada mengekal atau menangguhkan kadar kenaikan gaji baru pengawal keselamatan yang dijadualkan berkuatkuasa 1 Julai ini akan diputuskan minggu depan.
Beliau berkata, keputusan itu akan diambil selepas kementerian menimbangkan permintaan PPKKM yang mahu berunding terlebih dahulu dengan pelanggan mereka.
Sementara itu Shaheen berkata, kemungkinan 50,000 hingga 60,000 pengawal keselamatan yang rata-ratanya penduduk tempatan akan kehilangan pekerjaan sekiranya permintaan pihaknya tidak diluluskan kementerian.
Beliau berkata, dalam hal ini pihak persatuan memang menyambut baik cadangan kerajaan menaikkan gaji pengawal keselamatan dalam usaha mewujudkan rakyat yang berpendapatan tinggi.
"Kira-kira 50 peratus pelanggan kami adalah sektor awam dan sehingga hari ini kerajaan masih tidak mengumumkan penambahan bajet bagi menampung kos operasi kawalan keselamatan.
"Jika kerajaan tidak berbuat demikian, sektor swasta juga tidak akan melakukannya. Jadi mustahil bagi syarikat kawalan keselamatan untuk bertahan sementara menunggu pelanggan mereka bersedia menaikkan bajet masing-masing," jelasnya.
Beliau berkata, PPKKM menjangkakan situasi semakin buruk jika sektor swasta beralih semula kepada sistem 'jaga' yang kos gajinya jauh lebih murah kerana melibatkan pekerja asing.
"Sistem jaga tidak terlibat dalam proses kenaikan gaji ini dan tiada akta yang melarang sektor swasta untuk menggunakan sistem ini untuk menggantikan perkhidmatan kawalan keselamatan.
"Jika perkara ini tidak dikaji semula, tidak mustahil selepas ini pekerja asing akan mengambil alih kawalan keselamatan dan masalah lambakan pekerja asing menjadi semakin parah," tegasnya.
Menurutnya, tarikh 1 Januari 2011 yang dipilih persatuan untuk memulakan proses kenaikan gaji pengawal keselamatan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.
"Proses rundingan semula dengan pelanggan terutamanya sektor swasta bagi menentukan kadar baru memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk diselesaikan," katanya.

Pemilik syarikat dalam dilema

SAYA ingin menyentuh mengenai isu pengawal keselamatan, khususnya isu 'orang tempatan', 'orang luar' dan 'kenaikan gaji'.
Banyak telah diperkatakan dari dahulu lagi oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Sumber Manusia, Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan juga ahli-ahli politik tanah air mengenai perkara ini.
Saya selaku pengerusi eksekutif sebuah syarikat kawalan keselamatan yang telah beroperasi sejak tahun 1995 hingga sekarang, ingin meluahkan apa yang tersurat dan tersirat selama ini.
Pihak-pihak yang tersebut di atas masing-masing tidak membuat penyelidikan menyeluruh dan terus membuat perisytiharaan perkara-perkara yang banyak implikasinya yang tidak semudah seperti yang diputuskan.
Dari peringkat awal lagi pihak KDN telah berusaha memanggil wakil daripada syarikat kawalan keselamatan melalui PPKKM untuk berbincang, berunding serta menentukan hala tuju industri kawalan keselamatan Malaysia. Namun banyak perkara yang tidak diambil kira tetapi telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Kemungkinan mereka yang duduk dalam perundingan tersebut di antaranya terdiri daripada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod kurang baik seperti laporan audit yang telah didedahkan oleh KDN pada malam 28 April 2010 di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Oleh kerana itu, mereka tidak berani bercakap lebih-lebih di hadapan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Pertama sekali mengenai tenaga asing (Gurkha, Nepal). Pihak KDN telah memberitahu bahawa ada lebih sejuta ahli Rela dan juga Polis Sukarela di seluruh negara yang sedia dibekalkan kepada syarikat kawalan keselamatan yang memerlukan pekerja terlatih.
Saya telah menghantar surat ke beberapa pejabat Rela di Selangor sejak awal bulan Mac 2010 namun tiada jawapan hinggalah pada penghujung bulan April 2010. Kami dijemput oleh satu pejabat Rela Wilayah Persekutuan untuk memberi taklimat mengenai syarikat kami yang memerlukan pekerja. Yang hadir pada malam tersebut lebih daripada 150 ahli Rela.
Hasilnya tidak seorang pun yang tampil. Ada dua ahli Rela yang datang ke pejabat kami, selepas itu tidak muncul. Gaji yang ditawarkan lebih daripada yang diberi kepada pengawal kami yang sedia ada.
Soalnya, apa jawapan yang boleh menentukan kami dapat terus memenuhi permintaan pelanggan kami? Sebagaimana yang saya cadangkan pada perjumpaan 28 April tersebut, untuk sementara waktu berilah kelonggaran kepada kami yang memerlukan segera pekerja yang mudah kami dapat seperti pekerja bekas tentera Nepal (Gurkha).
Mengenai gaji RM1,100 hingga RM1,450 seperti yang saya sebutkan di perjumpaan tempoh hari, pihak syarikat kawalan keselamatan tidak ada masalah untuk membayar pekerja RM2,000 atau RM3,000 sebulan. Tetapi sanggupkah pelanggan kami membayar seperti yang diperlukan oleh kita dan kerajaan?
Mungkin pihak kerajaan tiada masalah memperuntukkan kadar sehingga RM11 sejam. Insya-Allah saya sanggup membayar pekerja saya hingga RM2,000 sebulan. Siapa pula yang hendak menetapkan supaya pelanggan kami daripada syarikat swasta melakukan perkara yang sama? Tolong selesaikan masalah ini serentak.
Adakah pihak PPKKM menghantar surat pekeliling kepada syarikat yang memerlukan pekerja Rela? Jika kami katakan bahawa kami tidak dapat seorang pun ahli Rela memohon dan terus menerima tawaran kami, apakah tindakan seterusnya oleh Presiden PPKKM?
Pada perjumpaan 28 April itu Pengarah Rela ada menyebut, bukan semua ahli Rela yang memerlukan kerja kawalan keselamatan atau lain-lain, sebab mereka itu kebanyakannya mempunyai pekerjaan sendiri. Jadi bagaimana? Di satu pihak menyatakan banyak pekerja dan di pihak satu lagi menyatakan tidak ramai yang memerlukan kerja di kalangan Rela.
Akhirnya suka saya merujuk kepada satu artikel dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris 6 Mei 2010. Antaranya menyebut, memang benar orang-orang tempatan kurang minat dengan kerjaya ini. Di akhir tulisan, penulis berkata, industri ini memerlukan masa untuk mengatasi masalah dengan kerjasama kementerian yang bersangkutan supaya syarikat-syarikat yang sedang menjalankan industri ini tidak terganggu operasinya.
MOHD KASSIM OTHMAN PZS
Kuala Lumpur

Gaji minimum bahaya untuk golongan miskin

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membincangkan mengenai caruman KWSP petugas di IDEAS. Saya memuji cara kerja para pegawai itu. Mereka sabar dan bersungguh-sungguh cuba membantu saya dengan nasihat-nasihat yang berguna.
Peruntukan undang-undang menetapkan bahawa setiap majikan wajib membayar caruman KWSP sebanyak 12 peratus sebagai tabungan pencen pekerja. Ada beberapa pengecualian, tetapi secara umum, itulah peraturannya. Dua belas peratus sebenarnya merupakan satu jumlah yang besar, terutama bagi organisasi yang baru bermula seperti kami di IDEAS.
Semasa saya berurusan dengan KWSP, terlintas juga dalam fikiran bahawa mungkin ada petugas saya yang terpaksa ditamatkan kontrak kerana kami tidak mampu membayar caruman mereka. Mungkin ada yang mungkin terpaksa diturunkan gaji. Malahan, saya mungkin terpaksa menawarkan gaji yang lebih rendah kepada petugas baru kerana saya tidak mampu membayar caruman KWSP yang tinggi.
Sebagai contoh, katakanlah jika ada petugas IDEAS yang menerima bayaran RM5,000 sebulan. Kos kepada syarikat, jika dicampurkan caruman KWSP, ialah RM5,600. Kos tambahan RM600 itu adalah satu kos yang tinggi, yang sebenarnya boleh saya gunakan untuk membayar gaji pekerja sambilan yang lain.
Tetapi, oleh kerana saya diwajibkan untuk membayar caruman KWSP, maka saya mungkin terpaksa menamatkan kontrak pekerja sambilan itu. Sedangkan pekerja sambilan yang bergaji rendah itu boleh jadi amat bergantung harap dengan bayaran upah dari saya untuk menyara keluarganya.
Dalam kes ini, semata-mata untuk membayar caruman KWSP seorang pekerja kaya berpendapatan tinggi, saya terpaksa memberhentikan seorang pekerja miskin berpendapatan rendah. Saya tiada pilihan lain kerana hasil kerja pekerja profesional itulah yang menjana pendapatan untuk organisasi kami. Untuk mengekalkan dia maka saya mesti membayar jumlah yang dia mahu.
Ironis sekali apabila undang-undang KWSP yang asalnya bertujuan mahu memastikan rakyat Malaysia ada tabungan pencen akhirnya mengakibatkan seorang pekerja miskin dibuang kerja. Dalam bidang sains sosial, inilah yang dikenali sebagai hukum akibat yang tidak dijangka (law of unintended consequences).
Situasi ini menyebabkan saya bimbang apabila Kementerian Sumber Manusia mahu menetapkan kenaikan gaji para pengawal keselamatan dengan kadar yang agak tinggi. Ini merupakan satu bentuk gaji minimum yang ditetapkan oleh undang-undang.
Hakikatnya ini sama dengan caruman KWSP yang kadarnya turut ditetapkan oleh kerajaan melalui undang-undang. Ada kesan negatif yang tidak dijangka yang akan berlaku, walaupun niat asalnya adalah baik. Bagi saya ini juga bertentangan dengan aspirasi Model Ekonomi Baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
Dalam Bab Enam laporan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), dengan terang dinyatakan bahawa MPEN tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan gaji minimum kerana ia boleh mengurangkan peluang pekerjaan di Malaysia.
Pandangan MPEN ini tepat sekali. Maka janganlah pula ada kementerian yang membelakangkan semangat MEB yang seperti yang dinyatakan dalam laporan itu.
Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana gaji minimum boleh mengurang peluang pekerjaan. Pengalaman IDEAS yang saya ceritakan di atas memberi jawapan yang jelas. Jika gaji minimum diwujudkan, maka akan ada golongan yang nanti terpaksa diberhentikan atau tidak diambil bekerja demi membolehkan syarikat menampung kos bayaran gaji atau caruman pekerja lain yang ditetapkan oleh undang-undang.
Biasanya golongan yang akan rugi ialah para pekerja berpendapatan rendah kerana mereka lebih mudah diganti berbanding golongan profesional berpendapatan tinggi. Golongan pengawal keselamatan, tukang sapu sampah, tukang kebun, buruh kasar, jurutol, dan lain- lain harus cemas dengan cadangan gaji minimum. Ini kerana gaji minimum akan menghasilkan kezaliman kepada golongan yang paling memerlukan pertolongan.
Saya sebenarnya mempunyai pengalaman peribadi dalam hal ini. Saya pernah bekerja sebagai pembersih tandas hospital semasa belajar di United Kingdom. Apabila kerajaan Britain memperkenalkan gaji minimum pada tahun 1999, saya dibuang kerja kerana syarikat tidak lagi mampu membayar upah semua pekerja.
Pada tahun 1997, Institute of Economic Affairs, sebuah badan pemikir di London, menerbitkan satu edisi khas jurnal ilmiah untuk membicarakan kesan gaji minimum. Mereka mendapati bahawa gaji minimum mungkin tidak memberi kesan negatif kepada negara sewaktu ekonomi sedang berkembang.
Tetapi, tatkala ekonomi negara menghadapi masalah, gaji minimum akan menyebabkan masalah ekonomi tersebut menjadi lebih teruk kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran. Syarikat-syarikat dihalang oleh undang-undang daripada mengambil pekerja baru atau menurunkan gaji walaupun para pekerja itu sendiri sanggup menerima gaji lebih rendah demi mengekalkan pekerjaan mereka. Maka akibatnya proses pembaikan kedudukan ekonomi negara dan pengurangan kadar pengangguran akan menjadi perlahan.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Shaheen Mirza Habib mengatakan bahawa jika langkah ini diteruskan, maka mungkin 300 syarikat keselamatan terpaksa gulung tikar. Ini akan menyebabkan 60,000 orang pengawal keselamatan tempatan hilang pekerjaan. Inilah akibat yang tidak dijangka daripada tindakan memperkenalkan gaji minimum, walaupun niat asal gaji minimum adalah baik.
Saya akui para pengawal keselamatan memang menerima gaji yang rendah. Bapa saudara saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat kecil berdekatan Kuala Pilah. Pak Andak saya mengayuh basikal tua setiap hari untuk pergi bekerja demi menyara keluarga. Kehidupan beliau memang susah dan beliau baru kematian isteri bulan lepas. Siapa yang mahu menyara keluarga beliau jika gaji minimum itu menyebabkan dia kehilangan kerja?
Saya akui saya agak emosi dalam hal ini disebabkan memikirkan kesusahan hidup Pak Andak saya dan juga pengalaman peribadi saya sendiri. Tetapi saya bukan bercakap dari segi teori sahaja. Saya pernah menjadi mangsa kezaliman gaji minimum dan saya tidak mahu orang lain ditimpa nasib yang sama.
Saya tidak pasti adakah mereka yang menuntut gaji minimum di Malaysia pernah atau tidak bekerja sebagai buruh kasar, apatah lagi sebagai pembersih tandas, lalu dibuang kerja seperti saya. Atau adakah mereka hanya berkempen daripada keempukan kerusi mahal di pejabat masing-masing sahaja?
Gaji minimum ialah satu dasar yang merbahaya kepada golongan berpendapatan rendah. Demi kebajikan rakyat miskin, saya harap gaji minimum tidak diperkenalkan.
Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua EksekutifInstitute for Democracy and Economic Affairs (www.IDEAS.org.my)

Mana tunggakan gaji kami?

JOHOR BAHRU 3 Mei – Beberapa bekas pekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan di Menara Iskandar Investment di Pusat Beli Belah Kotaraya, di sini merayu supaya gaji mereka yang sudah tertunggak sejak lebih sebulan lalu segera dibayar.
Menurut mereka, ramai pekerja dan bekas pekerja mencuba pelbagai cara untuk menuntut bayaran masing-masing sama ada gaji penuh atau separuh tetapi tidak dilayan.
Seorang bekas pekerjanya, Elias Abdullah, 60, berkata, syarikat itu masih belum membayar RM1,050 iaitu gajinya untuk Mac lalu selepas menamatkan perkhidmatan dengan syarikat itu.
Katanya, sehingga kini, pengurus syarikat masih berdolak dalih dan tidak memberikan jawapan meyakinkan untuk menjelaskan tunggakan tersebut.
“Apabila ditanya pengurus itu akan kata esok, esok dan esok. Jawapan itu diberi sejak berhenti 31 Mac lalu walaupun notis berhenti kerja dihantar Februari lalu.
“Masalah ini telah lama berlarutan tetapi tidak ada tindakan dikenakan dan nasib pekerja serta bekas pekerja tidak pernah terbela kerana tiada bekas pekerja yang pernah bersuara.
“Setelah melihat sikap pihak syarikat itu yang liat membayar gaji, saya ambil keputusan buat laporan di Balai Polis Johor Bahru Selatan baru-baru ini,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi pejabat Utusan Malaysia Johor, di sini semalam.
Elias yang merupakan pesara tentera berkata, masalah itu pernah diajukan kepada pihak pengurusan menara tersebut tetapi tiada tindakan malah didiamkan begitu sahaja.
Bagi Jamil Mat Nasir, 49, yang baru sebulan berhenti kerja mendakwa, syarikat tersebut tidak mengikut perjanjian seperti yang ditawarkan sebelum berkhidmat di situ.
Dia yang berhenti kerja 7 April lalu dan masih tidak mendapat gaji menambah, syarikat itu langsung tidak memikirkan keadaan pekerjanya yang rata-rata bukan orang senang.
S.Chandran, 48, pula yang baru berhenti kerja bulan lalu berkata, bekas pekerja bukan mahu menimbulkan masalah tetapi hanya menuntut hak mereka.
“Kami semua ada anak isteri dan inilah sumber pendapatan kami. Tindakan syarikat itu benar-benar menyusahkan kami,” katanya yang berkhidmat selama enam bulan dengan syarikat itu.
Sepanjang berkhidmat dengan syarikat tersebut dakwanya, pihak pengurusannya kerap mencari peluang untuk melakukan pemotongan tidak munasabah terhadap gaji bulanan.

Bekas pengawal keselamatan ingin penjelasan Kris Forst

  • SEORANG bekas pekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan yang juga dikenali sebagai Syarikat Kris Forst mahukan penjelasan yang munasabah mengenai bayaran gaji tertunggak selama empat bulan yang masih belum diterimanya sehingga ke hari ini.
“Saya mula bekerja dengan syarikat berkenaan sebagai pengawal keselamatan bersama dua lagi rakan sekerja pada bulan Januari tahun lepas dan telah dihantar bertugas di SK Bonor, Sook Keningau. Selepas bekerja sehingga bulan Oktober pada tahun yang sama, kami dimaklumkan bahawa kontrak antara bekas majikan dan Kementerian Pendidikan telah dimansuhkan,” ujar pengadu.
“Oleh sebab itu, tanpa sebarang pilihan lain, kami terpaksa berhenti dan mencari kerja lain. Tetapi apa yang membuatkan kami berasa sedih ialah pengerusi syarikat berkenaan memberitahu kami bahawa mereka tidak dapat melunaskan baki wang gaji kami. Dia turut mendakwa yang pihak kementerian enggan mengeluarkan sebarang bayaran yang membuatkan mereka tidak mempunyai wang untuk membayar gaji kami,” tambahnya.
“Bagi saya, biarpun pihak kementerian tidak mahu membuat sebarang bayaran kepada bekas majikan saya itu, masih menjadi tanggungjawab mereka untuk membayar gaji kami. Tetapi dalam situasi ini, kami telah dibiarkan begitu sahaja tanpa apa-apa ganti rugi atau yang sewajarnya.”
Pengadu turut memaklumkan kepada ActionLine yang dia telah membawa masalah tersebut kepada Jabatan Buruh yang terletak di Keningau namun jawapan yang diterimanya lebih mengecewakan.
“Saya benar-benar tidak percaya yang mereka memberitahu saya untuk membiarkan sahaja perkara itu kerana saya bukan satu-satunya mangsa kejadian seperti ini. Pegawai berkenaan juga memberitahu yang banyak lagi pengawal keselamatan di daerah ini yang mengalami nasib yang sama.”
“Kenyataan itu langsung tidak membantu. Bagaimana mereka boleh berkata sedemikian? Apa yang pasti kami bukan bekerja secara sukarela tetapi bagi mendapatkan wang untuk menyara kehidupan,” jelasya lagi.
Justeru, Jabatan tersebut sepatutnya membantu saya untuk mempertahankan hak saya yang telah dicabul oleh syarikat itu tetapi nampaknya mereka tidak kisah dengan masalah saya dan ia turut menandakan yang mereka seolah-olah bersetuju dengan tindakan bekas majikan saya tidak mahu membayar walau sesen pun wang gaji kami selepas tuntutan mereka tidak diluluskan oleh pihak kementerian.”
Syarikat Kris Forst berpusat di Kota Kinabalu, menurut pengadu terdapat lebih dari 10 buah sekolah di sekitar daerah Keningau yang terletak di bawah jagaan mereka.
“Saya terasa seperti berada di jalan mati kerana saya sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Jabatan Buruh secara terang-terangan menolak aduan saya dan syarikat itu juga langsung tidak sudi untuk memberi kerjasama.”

Rujukan : http://ns1.newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/49454