Friday, 10 June 2011

Pemilik syarikat dalam dilema

SAYA ingin menyentuh mengenai isu pengawal keselamatan, khususnya isu 'orang tempatan', 'orang luar' dan 'kenaikan gaji'.
Banyak telah diperkatakan dari dahulu lagi oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Menteri Sumber Manusia, Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan juga ahli-ahli politik tanah air mengenai perkara ini.
Saya selaku pengerusi eksekutif sebuah syarikat kawalan keselamatan yang telah beroperasi sejak tahun 1995 hingga sekarang, ingin meluahkan apa yang tersurat dan tersirat selama ini.
Pihak-pihak yang tersebut di atas masing-masing tidak membuat penyelidikan menyeluruh dan terus membuat perisytiharaan perkara-perkara yang banyak implikasinya yang tidak semudah seperti yang diputuskan.
Dari peringkat awal lagi pihak KDN telah berusaha memanggil wakil daripada syarikat kawalan keselamatan melalui PPKKM untuk berbincang, berunding serta menentukan hala tuju industri kawalan keselamatan Malaysia. Namun banyak perkara yang tidak diambil kira tetapi telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Kemungkinan mereka yang duduk dalam perundingan tersebut di antaranya terdiri daripada syarikat-syarikat yang mempunyai rekod kurang baik seperti laporan audit yang telah didedahkan oleh KDN pada malam 28 April 2010 di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Oleh kerana itu, mereka tidak berani bercakap lebih-lebih di hadapan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Pertama sekali mengenai tenaga asing (Gurkha, Nepal). Pihak KDN telah memberitahu bahawa ada lebih sejuta ahli Rela dan juga Polis Sukarela di seluruh negara yang sedia dibekalkan kepada syarikat kawalan keselamatan yang memerlukan pekerja terlatih.
Saya telah menghantar surat ke beberapa pejabat Rela di Selangor sejak awal bulan Mac 2010 namun tiada jawapan hinggalah pada penghujung bulan April 2010. Kami dijemput oleh satu pejabat Rela Wilayah Persekutuan untuk memberi taklimat mengenai syarikat kami yang memerlukan pekerja. Yang hadir pada malam tersebut lebih daripada 150 ahli Rela.
Hasilnya tidak seorang pun yang tampil. Ada dua ahli Rela yang datang ke pejabat kami, selepas itu tidak muncul. Gaji yang ditawarkan lebih daripada yang diberi kepada pengawal kami yang sedia ada.
Soalnya, apa jawapan yang boleh menentukan kami dapat terus memenuhi permintaan pelanggan kami? Sebagaimana yang saya cadangkan pada perjumpaan 28 April tersebut, untuk sementara waktu berilah kelonggaran kepada kami yang memerlukan segera pekerja yang mudah kami dapat seperti pekerja bekas tentera Nepal (Gurkha).
Mengenai gaji RM1,100 hingga RM1,450 seperti yang saya sebutkan di perjumpaan tempoh hari, pihak syarikat kawalan keselamatan tidak ada masalah untuk membayar pekerja RM2,000 atau RM3,000 sebulan. Tetapi sanggupkah pelanggan kami membayar seperti yang diperlukan oleh kita dan kerajaan?
Mungkin pihak kerajaan tiada masalah memperuntukkan kadar sehingga RM11 sejam. Insya-Allah saya sanggup membayar pekerja saya hingga RM2,000 sebulan. Siapa pula yang hendak menetapkan supaya pelanggan kami daripada syarikat swasta melakukan perkara yang sama? Tolong selesaikan masalah ini serentak.
Adakah pihak PPKKM menghantar surat pekeliling kepada syarikat yang memerlukan pekerja Rela? Jika kami katakan bahawa kami tidak dapat seorang pun ahli Rela memohon dan terus menerima tawaran kami, apakah tindakan seterusnya oleh Presiden PPKKM?
Pada perjumpaan 28 April itu Pengarah Rela ada menyebut, bukan semua ahli Rela yang memerlukan kerja kawalan keselamatan atau lain-lain, sebab mereka itu kebanyakannya mempunyai pekerjaan sendiri. Jadi bagaimana? Di satu pihak menyatakan banyak pekerja dan di pihak satu lagi menyatakan tidak ramai yang memerlukan kerja di kalangan Rela.
Akhirnya suka saya merujuk kepada satu artikel dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris 6 Mei 2010. Antaranya menyebut, memang benar orang-orang tempatan kurang minat dengan kerjaya ini. Di akhir tulisan, penulis berkata, industri ini memerlukan masa untuk mengatasi masalah dengan kerjasama kementerian yang bersangkutan supaya syarikat-syarikat yang sedang menjalankan industri ini tidak terganggu operasinya.
MOHD KASSIM OTHMAN PZS
Kuala Lumpur

1 comment:

  1. orang tempatan ko bayar RM800 tapi orang asing bole plak ko bayar RM1200.... HAPRAK!!!

    ReplyDelete